CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Selasa, 22 September 2009

PUASA ENAM IBARAT PUASA SETAHUN

Alhamdulillah kita hampir tamat menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadhan ini. Sama-samalah kita mengharapkan mudah-mudahan Allah menerima amalan puasa kita. Di samping itu juga diharapkan agar latihan ibadat yang kita lakukan sepanjang Ramadhan seperti puasa, solat sunat, sedekah, bacaan Quran dapat diteruskan dalam bulan-bulan lain sehinggalah kita bertemu Ramadhan 1419H. akan datang.
Setiap amalan ada kesan dan hasilnya. Ibadat puasa Ramadhan ini mampu menjadikan kita orang yang bertakwa. Inilah intipati dari Ramadhan. Kelazatan puasa memuncak ketika berakhirnya Ramadhan. Kita inginkan keberkahan Ramadhan ini berpanjangan hingga setahun, tapi apakan daya ia datang hanya sebulan saja.
Sungguhpun begitu, kita masih berpeluang meneruskan puasa selepas 1 Syawal. Adalah menjadi amalan sunat mengerjakan puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Ia boleh dilakukan mulai 2 Syawal hingga 7 Syawal secara berterusan atau mana-mana 6 hari dalam bulan tersebut. Nabi Muhammad saw. bersabda "Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawal, maka orang itu seolah-olah berpuasa setahun penuh."
Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Sayugialah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa 6 di bulan Syawal. Selain mendapat pahala puasa setahun, kita juga dapat memperbaiki kekurangan dalam ibadat puasa bulan Ramadhan.
Bagi kaum perempuan yang tidak dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan kerana kedatangan haid, puasa Sunat 6 hari dalam Syawal ini memberi peluang terbaik untuk mengqadha' di samping mendapatkan pahala berpuasa sunat. Kebiasaan mentaakhirkan qadha sehingga hampir Ramadhan akan datang adalah satu amalan yang tidak sepatutnya dilakukan. Amalan wajib jika ditinggalkan mestilah disegerakan sebagai menunjukkan sikap pengabdian diri kita terhadap Allah. Apakah makna dan tujuan kita melambatkan qadha' puasa wajib? Tidak lain menunjukkan seolah-olah kita keberatan untuk menunaikan kewajiban yang telah kita tinggalkan. Bukankah Allah tahu apa yang tersirat di hati kita?
Natijah dari amalan puasa ialah taqwa dan kasih akan Allah. Tanda kasih akan Allah ialah berkhidmat kepadaNya. Siapa mencintai Allah dia akan berbahagia di alam akhirat, sebaliknya siapa mencintai dunia dan isinya, ketahuilah dunia akan meninggalkan kita. Kelazatan dunia walaupun bagus tetapi ia tidak kekal. Ia berakhir sebaik saja kita menemui ajal. Sebaliknya kelazatan akhirat kekal abadi tanpa batasan waktu.
Di antara tanda kita mengasihi akan Allah ialah mulut sentiasa berzikir (mengingati / menyebut) Allah, hati tidak lalai mengingati sesuatu selain Allah. Setiap amalan yang dilakukan diperiksa terlebih dulu adakah untuk nafsu atau Allah. Mana yang dirasakan untuk Allah diteruskan. Apabila melihat sesuatu hati terus teringat kepada Allah yang menjadikannya. Selain itu, sentiasa mendampingi orang alim (ulama) kerana mereka ialah pewaris nabi. Kita sedar kita adalah bersama orang yang kita cintai di akhirat nanti. Jika hati menyintai nabi dan para ulama, insyallah kita bersama mereka di akhirat . Bagaimana pula agaknya kalau kecintaan beralih kepada para artis dan penyanyi? Nauzubillah...
Sebagai akhirnya, sama-samalah kita berdoa supaya kita dapat bertemu Ramadhan tahun depan dan seterusnya.
"Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan orang yang merindui Ramadhan kerana kami sedar di syurga terdapat sebuah pintu bernama Ar-Rayyan yang tidak boleh dimasuki oleh sesiapa kecuali orang yang berpuasa saja. Kami juga sedar Ya Allah bahawa puasa merupakan benteng terkuat dari azab neraka. Oleh itu jadikanlah kami orang yang rajin mengerjakan puasa wajib dan sunatnya. Kau peliharakanlah kami dari azab api neraka yang tidak mampu bagi kami untuk menanggungnya.." Amin.

Rabu, 9 September 2009

KISAH TAULADAN

Semalam dengar Ceramah Dato Ustazah Masitah ....Kisah Syaitan bernama Khanaz pernah dengar tak? Cerita nya macam ni.. Masa mula-mula Nabi Adam dan Hawa di Bumi. Syaitan yang tak pernah mengenal putus asa untuk menghancurkan anak cucu Adam , dok pikir2 macam mana nak kacau anak Adam dari patuh dengan suruhan Allah.
Suatu hari Si Ibu Syaitan ni tengah dok fikir "Macammana aku nak kenakananak cucu Adam".... dan tiba2 dia nampak anak dia yang bernama Khanaz. Lalu dipanggilnya "Khanaz....mari sini ikut mak...". Lalu di pun pergi menuju ke rumah Adam dan Hawa. Pada ketika itu Nabi Adam baru saja meninggalkan rumah untuk pergi kerja mencari nafkah. Dan tinggal lah Hawa keseorangan di rumah, tiba2,
pintu rumah diketuk, lalu dibuka oleh Hawa dan bertanya "Siapa kamu..?" Ibu Syaitan menjawab "Tolong jaga kan anak saya...nanti saya akan datang untuk ambil dia balik" Hawa yang tidak mengetahui apa2, terus memberi pertolongan.

Apabila Adam pulang, Adam terperanjat dan bertanyakan Hawa "Anak siapakah ini..?", Lalu Hawa menjawab "Tak tahu lah..tadi ada seorang wanita menyuruh kita menjaga anak ini." Adam berfikir " Ini mesti anak syaitan, yang mahu menganggu anak cucu kita..."

"Apa harus kita lakukan sekarang..?" tanya Hawa pada Adam Setelah lama berfikir..

"Kita potong-potong dagingnya sehingga kecil dan gantung kan isi2 dagingnya di pokok luar rumah kita...Nanti bila Ibu nya datang biar dia nampak dan
tahu anak nya sudah tiada..." cadang Adam.

Keesokkan pagi harinya Ibu syaitan itu pun datang lagi ketika Adam sudah keluar pergi kerja.

"Mana anak aku...?"Tanya Ibu syaitan pada Hawa.
Hawa pun menjawab dan secara tidak sengaja menerang kan apa yang telah mereka lakukan terhadap anak syaitan "Anak kamu semalam Adam pulang ke rumah lalu apabila ia mengetahui yang anak itu anak syaitan ...lalu sudah kami kerat2 anak kamu dan kami gantung kan daging nya di atas pokok luar sana..." terang Hawa.

"Oh...iye ke?..." jawab Ibu Syaitan dengan nada yang tidak risau. Kemudian
Ibu Syaitan meneriak memanggil anaknya "Khanaz!"
Tiba2 daging2 khanaz yang telah dikerat bergantungan di atas pokok itu pun bercantum kembali dan menjadi hidup dan menjadi Khanaz kembali....dan Ibu Syaitan masih tidak berputus asa dan masih meminta Hawa menjagakan Khanaz dan ia berpesan akan kembali lagi esok hari nya.

Apabila Adam pulang dan terlihatlah ia akan anak Syaitan yang bernama Khanaz itu lagi dan bertanya kan pada Hawa kenapa anak Syaitan itu masih berada di rumah meraka. Hawa menerang apa yang berlaku.

"Kita tak boleh biarkan usaha Syaitan untuk menganggu hidup anak cucu kita.." kata Adam .

"Apa harus kita lakukan lagi..?" tanya Hawa.

"Begini..kita bakar anak Syaitan ini dan ..abunya kita buangkan ke laut, biar abunya di bawa arus laut dan Ibu nya tidak akan dapat mendapatkan anak
nya ini lagi..." terang Adam .

Keesokan pagi nya datang lah lagi Ibu Syaitan ini bertanyakan Khanaz ketika Adam sudah keluar bekerja.

"Mana anak aku?" tanya Ibu Syaitan.

"Anak kamu sudah kamu bakar dan abunya kami buang ke laut!" jawab Hawa.

"Oh..iye ke? kata Ibu Syaitan lalu meneriak memanggil "Khanaz!!!". Kemudian bercantumlah kembali daging Khanaz dari abu, dan menjadi Khanaz kembali. Kemudian diserahkan kembali pada Hawa untuk menjaga Khanaz.

Apabila Adam pulang, mendapati anak Syaitan itu masih berada di rumahnya

"Ini tak boleh jadi, kita tak boleh biar kan mereka ganggu anak cucu kita" kata Adam .

"Apa harus kita laku kan ?" tanya Hawa.

"Begini sajalah...kita belah dua anak dia ni...kamu telan sebelah, aku telan sebelah. Habis cerita!" cadang Adam .
Keesokan pagi, datanglah lagi si Ibu Syaitan bertanyakan anaknya ketika Adam sudah keluar bekerja.

"Mana anak aku?" tanya Ibu Syaitan.

"Anak kamu ...., kali ini kamu tak dapat balik anak kamu.."jawab Hawa.

"Kenapa..?"tanya Ibu Syaitan.

"Anak kamu telah kami telan....!" Jawab Hawa dengan penuh yakin.

"Iye ke...? Lalu Ibu Syaitan memanggil anak nya ˝Khanaz !!!

"Iye Mak...." jawab Khanaz dari dalam badan Hawa..

Bagus anakku..kamu duduk di dalam sana, jangan keluar2 .. Arah Ibu Syaitan pada
Khanaz.

Itu lah cerita dia kawan2...duduk lah Khanaz dalam tubuh badan manusia
sehingga hari ini dan hingga hari kiamat. Syaitan Khanaz ni tugas dia:

- Bila kita makan ia pun makan, kita minum ia pun minum.Apa jer aktiviti kita buat dia kan menyertai JIKA KITA TAK BACA BISMILLAH.

- Bila kita solat dia akan berusaha supaya kita was-was, tulah mana yang tengah solat tu tiba2 tak ingat berapa rakaat dah kita solat.

- Buat kerja kita keliru dan ingat2 lupa "Eh dah buat ke belum ye..?" ubatnya banyak kan dengan BERISTIGHAFAR. ..

- Khanaz akan belari / bermain dalam darah kita...Ubatnya. ..banyakkan Zikir...

Sahabat Rasulullah pernah bertanya bagaimana hendak mengelak dari Khanaz
ini.
Pesan Rasulullah, setiap apa yang hendak kita laku kan mula kan lah dengan baca BISMILLAH dan Doa. Sekurang2nya BISMILLAH.
Khanaz akan berasa kelaparan bila kita berpuasa dan akan menjadibertambah kurus bila kita makan mulakan dengan baca Bismillah.
Dan mana yang suami Isteri tu sebelum BERSAMA. Baca lah doa2. nanti Khanaz dan the geng akan ikut serta.
Tengok bagaimana Syaitan yang tak pernah putus asa untuk memperdaya anak cucu Adam ..
Surah An Nas jua menceritakan hal Syaitan bernama Khanaz yang sentiasa
buat kita was-was.
Walllahualam....
Apa-apa pun mulakan setiap kerja aktiviti dengan nama Allah BISMILLAH.

Selasa, 8 September 2009

RAMADHAN: BULAN MUHASABAH DIRI

Pada dasarnya manusia dijadikan Allah dalam keadaan fitrah. Semasa membesar pendidikan yang diterima berbeza-beza mengikut faktor pendidikan yang diterima daripada ibu bapa dan keadaan persekitaran. Faktor-faktor ini mengubah dan menjejaskan fitrah kemanusiaan. Amat beruntunglah seseorang jika pendidikan dan tarbiyah yang diterima berpaksikan Al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Sebaliknya amat rugilah jika amalan hidup bercanggah dengan kedua-dua peninggalan Nabi (Quran & Sunnah).

Allah amat mengetahui keadaan ini. Justeru, diwajibkan berpuasa setiap tahun bagi setiap individu sebagai satu cara untuk muhasabah, mengukur dan memeriksa diri sejauh mana ketaatan telah dilakukan dan sejauh mana kemaksiatan telah ditinggalkan. Introspeksi begini jarang dapat dilakukan di luar bulan puasa. Sebagaimana kenderaan perlu di'overhaul' setelah lama digunakan, begitulah manusia perlu di'overhaul' jasmani dan rohaninya melalui amalan berpuasa. Bulan puasa dalam aspek ini merupakan masa bagi umat Islam menjalani tarbiyah dan kursus pembinaan jasmani dan rohani berlandaskan syariat Islamiah supaya dapat menjalani hidup yang lebih sempurna pada masa hadapan.

Gangguan atau rintangan yang amat mencabar bagi setiap insan ialah syaitan. Syaitan ialah musuh manusia yang utama. Tugas utama dan 'core business' syaitan tidak lain tidak bukan hanya untuk menyesatkan manusia. Setiap detik kerjanya menjahanamkan manusia supaya akan terjun ke neraka seperti mana dirinya yang tiada harapan langsung masuk syurga. Dalam otaknya sudah disetkan begitu. Kita tidak perasan musuh kita yang halus lagi ghaib ini memasang pelbagai strategi untuk memukul kita, manakala kita pula asyik dilalaikan dengan pelbagai tugas, kerja dan amalan harian lain hingga terlupa makhluk syaitan ini hendak memerangkap kita. Nasib baiklah kita ada Allah yang boleh kita minta pertolongan.

Amalan puasa diwajibkan di antara lain ialah untuk memerangi syaitan. Selain berlapar atau menahan diri dari makan dan minum, kita juga dikehendaki puasakan pendengaran, penglihatan dan perkataan. Berlapar dengan tujuan menyempitkan perjalanan syaitan. Syaitan berjalan dalam diri kita melalui saluran darah. Dengan berpuasa syaitan tidak berpeluang menjadikan pembuluhan darah kita sebagai lebuhrayanya. Telinga dipuasakan dari mendengar yang haram, mulut dipuasakan dari mengeluarkan kata-kata yang jahat seperti mengumpat dan berbohong manakala mata pula dipuasakan dari melihat perkara yang dilarang atau diharamkan. Jika dilakukan dengan penuh ketaatan syaitan tidak langsung dapat peluang memeragkap kita di bulan ini. Tambahan pula dalam bulan ini dinukilkan bulan terbukanya pintu syurga dan ditutupkan pintu neraka.

Pendek kata dalam bulan ini, kita mesti menghisab diri dan mengawasi segala tindak laku kita supaya tidak mencemari amalan puasa. Nabi sentiasa mengingatkan kita supaya jangan menyamakan bulan ini dengan bulan-bulan lain. Mesti ada kelainannya kerana inilah keistimewaannya. Jika anggapan kita Ramadan sama dengan bulan-bulan lain, maka peruntukan pahala dan rahsia Ramadhan tidak akan kita perolehi dan kecapi kelazatannya sama sekali.

Setelah mempuasakan segala indera kita dari apa yang dilarang oleh Allah, kita digalakkan mengisi sepanjang Ramadhan dengan amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, bersedekah, mengaji ilmu agama, sembahyang terawih dan sebagainya. Amalan di bulan puasa dibalas dengan gandaan pahala yang banyak.

Walaupun tidur orang puasa diberikan pahala, namun memperbanyakkan tidur di waktu siang tidaklah digalakkkan sebagaimana tidak digalakkan makan banyak pada waktu malamnya. Semasa berbuka memadalah dengan makanan yang sederhana. Janganlah melampaui batas dalam menyediakan makanan berbuka. Kita perlu mengingatkan diri kita tujuan puasa ialah untuk melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika semasa berbuka kita penuhkan dengan pelbagai juadah, maka seolah-olah kita melayan semula kehendak syaitan dan nafsu. Bermakna tujuan puasa pada hari itu masih samar-samar dan tidak memberi kesan positif. Oleh sebab itu, Nabi saw pernah bersabda ramai orang berpuasa tidak dapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.

Syaitan sangat suka sifat membazir malahan mereka yang membazir dikatakan kawan syaitan. Tradisi kebanyakan kita membeli juadah dan kuih-muih yang banyak untuk berbuka adalah membazir kerana semasa berbuka hanya sebahagian yang kita makan; selebihnya dibuang saja.

Akhirnya dapat dibuat kesimpulan bulan puasa adalah bulan bagi umat Islam membuat persiapan diri memperkuatkan benteng jasmani dan rohani melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika kita dikalahkan oleh syaitan dalam bulan-bulan lain, dengan bantuan Allah insyallah kita akan menang kerana dapat mengalahkan syaitan pada bulan Ramadhan yang mubarak ini. Kemenangan ini seharusnya tidak dihadkan dalam bulan ini saja; ia perlu dihayati seterusnya pada bulan-bulan berikutnya. Ingatlah kita sedang menjalani kursus dan bengkel mujahadah sepanjang Ramadhan. Budaya sepanjang kursus/bengkel mestilah diteruskan pada bulan-bulan lain. Jika ini berjaya dilakukan barulah dikatakan objektif puasa ini mencapai matlamatnya. Sama-samalah kita lakukan semoga amalan kita diterima oleh Allah.