CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Jumaat, 18 Disember 2009

AWAL MUHARAM MAAL HIJRAH


Menjelang bulan Muharam, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sibuk membuat persiapan untuk menyambut “Maal Hijrah”. Beberapa stesen radio dan televisyen turut menyiarkan iklan atau promo mengenainya selain daripada rencana dan drama bagi membangkitkan semangat hijrah dalam kalangan umat Islam.

Pada malam satu Muharam pula setiap masjid negeri mengadakan ceramah atau forum mengenai hijrah dan pada esok harinya kerajaan sama ada pusat atau negeri pula mengadakan sambutan rasmi. Pada hari itu juga beberapa orang diangkat sebagai tokoh Maal Hijrah.

Tetapi sebagai umat Islam, apa yang anda fikirkan untuk menerima dan menyambut kedatangan tahun baru, awal Muharam 1431H ini. Sudah bersediakan anda untuk berhijrah daripada sikap berlebih kurang tentang agama kepada yang lebih serius untuk melaksanakan Islam dalam diri, masyarakat, kampung dan negeri serta negara.

Apakah kita masih ada rasa takut untuk melakukan hukum Allah kerana takut apa kata orang, takut nanti orang bukan Islam kata apa-apa, dan takut nanti orang menentang dan memusuhi kita. Kita lebih takut kepada manusia daripada takut kepada Allah, inilah golongan syirik yang ramai tidak tahu.

Sebenarnya untuk melaksanakan hukum Allah di muka bumi ini adalah hak kita. Tidak ada sesiapa pun di dunia ini yang boleh menghalang kita melaksanakannya. Tidak undang-undang yang boleh menyekat pengamalan Islam kita. Tetapi yang menyebabkan pengamalan Islam kita tidak sempurna pada masa kini adalah kerana kita sendiri.

Sudah tentu tiada siapa yang boleh menghalangnya melakukan solat di rumahnya. Kalau pun isteri atau ayah menghalang, kita boleh melawannya. Di tempat kerja, tiada majikan yang mah menghalang kita untuk solat. Kadang-kadang ada majikan yang menghalang tetapi adalah kerana sikap pekerjanya yang menyalahgunakan peluang bersolat, mereka tidur atau berborak. Ertinya bukan majikan yang menghalang.

Mungkin ada orang berhujjah, kerajaan menghalang kita melaksanakan hukum hudud. Di sinilah kesilapan umat Islam dalam menilai haknya, dan mana pula hak kerajaan. Sebenarnya, hak melaksanakan hukum hudud dan qisas adalah kerajaan, tidak kena mengena dengan umat Islam. Kita tidak berdosa dengan kegagalan kerajaan melaksanakan hukum hudud.

Walau bagaimanapun dalam hal ini kita jangan lupa bahawa terdapat juga hak kita ialah hak tidak melakukan kesalahan hudud. Hak ini kekal walaupun kerajaan tidak melaksanakan hukum itu. Maknanya, semua manusia terutama umat Islam tidak boleh berzina, tidak boleh mencuri, tidak boleh murtad, tidak boleh minum arak dan tidak boleh membunuh orang.

Hukum ini tetap berjalan walaupun kerajaan belum melaksanakan hukum hudud dan qisas. Kalau semua umat Islam boleh menghindarkan diri walaupun belum ada hukum hudud dan qisas, kitalah sebenarnya umat Islam yang paling baik. Hal ini kerana kita dapat meninggalkan kesalahan tersebut bukan kerana takut hukuman yang disediakan tetapi kerana takut Allah.

Jelas di sini, tiada siapa yang boleh menghalang kita daripada tidak melakukan zina, rogol, mencuri, minum arak dan sebagainya. Namun kalau ada orang memaksa kita supaya berzina, mencuri dan minum arak dengan ancaman akan membunuh kita, maka ketika itu jika kita lakukan tidaklah dikira berdosa.

Jadi, sempena Maal Hijrah ini marilah kita bersihkan hati dan jiwa kita, dengan satu keazaman untuk melakukan segala perintah Allah, meninggalkan larangan-Nya dan membuat baik kepada semua orang termasuk musuh. Ingatlah jika kita boleh berbuat baik dengan musuh, dia akan mengenali hati kita sebagai orang yang jujur. Orang yang jujur mampu menarik orang ramai bagaikan magnet.

0 ulasan: