CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Selasa, 8 September 2009

RAMADHAN: BULAN MUHASABAH DIRI

Pada dasarnya manusia dijadikan Allah dalam keadaan fitrah. Semasa membesar pendidikan yang diterima berbeza-beza mengikut faktor pendidikan yang diterima daripada ibu bapa dan keadaan persekitaran. Faktor-faktor ini mengubah dan menjejaskan fitrah kemanusiaan. Amat beruntunglah seseorang jika pendidikan dan tarbiyah yang diterima berpaksikan Al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Sebaliknya amat rugilah jika amalan hidup bercanggah dengan kedua-dua peninggalan Nabi (Quran & Sunnah).

Allah amat mengetahui keadaan ini. Justeru, diwajibkan berpuasa setiap tahun bagi setiap individu sebagai satu cara untuk muhasabah, mengukur dan memeriksa diri sejauh mana ketaatan telah dilakukan dan sejauh mana kemaksiatan telah ditinggalkan. Introspeksi begini jarang dapat dilakukan di luar bulan puasa. Sebagaimana kenderaan perlu di'overhaul' setelah lama digunakan, begitulah manusia perlu di'overhaul' jasmani dan rohaninya melalui amalan berpuasa. Bulan puasa dalam aspek ini merupakan masa bagi umat Islam menjalani tarbiyah dan kursus pembinaan jasmani dan rohani berlandaskan syariat Islamiah supaya dapat menjalani hidup yang lebih sempurna pada masa hadapan.

Gangguan atau rintangan yang amat mencabar bagi setiap insan ialah syaitan. Syaitan ialah musuh manusia yang utama. Tugas utama dan 'core business' syaitan tidak lain tidak bukan hanya untuk menyesatkan manusia. Setiap detik kerjanya menjahanamkan manusia supaya akan terjun ke neraka seperti mana dirinya yang tiada harapan langsung masuk syurga. Dalam otaknya sudah disetkan begitu. Kita tidak perasan musuh kita yang halus lagi ghaib ini memasang pelbagai strategi untuk memukul kita, manakala kita pula asyik dilalaikan dengan pelbagai tugas, kerja dan amalan harian lain hingga terlupa makhluk syaitan ini hendak memerangkap kita. Nasib baiklah kita ada Allah yang boleh kita minta pertolongan.

Amalan puasa diwajibkan di antara lain ialah untuk memerangi syaitan. Selain berlapar atau menahan diri dari makan dan minum, kita juga dikehendaki puasakan pendengaran, penglihatan dan perkataan. Berlapar dengan tujuan menyempitkan perjalanan syaitan. Syaitan berjalan dalam diri kita melalui saluran darah. Dengan berpuasa syaitan tidak berpeluang menjadikan pembuluhan darah kita sebagai lebuhrayanya. Telinga dipuasakan dari mendengar yang haram, mulut dipuasakan dari mengeluarkan kata-kata yang jahat seperti mengumpat dan berbohong manakala mata pula dipuasakan dari melihat perkara yang dilarang atau diharamkan. Jika dilakukan dengan penuh ketaatan syaitan tidak langsung dapat peluang memeragkap kita di bulan ini. Tambahan pula dalam bulan ini dinukilkan bulan terbukanya pintu syurga dan ditutupkan pintu neraka.

Pendek kata dalam bulan ini, kita mesti menghisab diri dan mengawasi segala tindak laku kita supaya tidak mencemari amalan puasa. Nabi sentiasa mengingatkan kita supaya jangan menyamakan bulan ini dengan bulan-bulan lain. Mesti ada kelainannya kerana inilah keistimewaannya. Jika anggapan kita Ramadan sama dengan bulan-bulan lain, maka peruntukan pahala dan rahsia Ramadhan tidak akan kita perolehi dan kecapi kelazatannya sama sekali.

Setelah mempuasakan segala indera kita dari apa yang dilarang oleh Allah, kita digalakkan mengisi sepanjang Ramadhan dengan amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, bersedekah, mengaji ilmu agama, sembahyang terawih dan sebagainya. Amalan di bulan puasa dibalas dengan gandaan pahala yang banyak.

Walaupun tidur orang puasa diberikan pahala, namun memperbanyakkan tidur di waktu siang tidaklah digalakkkan sebagaimana tidak digalakkan makan banyak pada waktu malamnya. Semasa berbuka memadalah dengan makanan yang sederhana. Janganlah melampaui batas dalam menyediakan makanan berbuka. Kita perlu mengingatkan diri kita tujuan puasa ialah untuk melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika semasa berbuka kita penuhkan dengan pelbagai juadah, maka seolah-olah kita melayan semula kehendak syaitan dan nafsu. Bermakna tujuan puasa pada hari itu masih samar-samar dan tidak memberi kesan positif. Oleh sebab itu, Nabi saw pernah bersabda ramai orang berpuasa tidak dapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.

Syaitan sangat suka sifat membazir malahan mereka yang membazir dikatakan kawan syaitan. Tradisi kebanyakan kita membeli juadah dan kuih-muih yang banyak untuk berbuka adalah membazir kerana semasa berbuka hanya sebahagian yang kita makan; selebihnya dibuang saja.

Akhirnya dapat dibuat kesimpulan bulan puasa adalah bulan bagi umat Islam membuat persiapan diri memperkuatkan benteng jasmani dan rohani melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika kita dikalahkan oleh syaitan dalam bulan-bulan lain, dengan bantuan Allah insyallah kita akan menang kerana dapat mengalahkan syaitan pada bulan Ramadhan yang mubarak ini. Kemenangan ini seharusnya tidak dihadkan dalam bulan ini saja; ia perlu dihayati seterusnya pada bulan-bulan berikutnya. Ingatlah kita sedang menjalani kursus dan bengkel mujahadah sepanjang Ramadhan. Budaya sepanjang kursus/bengkel mestilah diteruskan pada bulan-bulan lain. Jika ini berjaya dilakukan barulah dikatakan objektif puasa ini mencapai matlamatnya. Sama-samalah kita lakukan semoga amalan kita diterima oleh Allah.

0 ulasan: