CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Selasa, 2 Jun 2009

HALAMAN TAZKIRAH


Ceritanya mengisahkan seekor anak ikan dan ibunya yang sedang berenang-renang di lautan dalam. Ibu ikan sedang mengajar anak kesayangannya akan erti kehidupan dan realiti yang mereka hadapi.

Anak ikan ini bertanya, "Apa banyakkah perkara yang anakanda tidak ketahui wahai ibu?".

Ibu ikan ini pun berkata, "Duhai anakanda yang ku kasihi, sesungguhnya terdapat suatu perkara yang amat penting yang ibu ingin sampaikan, ajaran ini telah disampaikan oleh pendita-pendita ikan yang terulung sejak zaman berzaman, telah disebarkan kepada seluruh warga alam air ini dan ibu harap anakanda juga ambil berat apa yang ingin ibu katakan. Suatu hari nanti akan anakanda jumpa cacing yang sungguh enak sedang dicucuk oleh mata kail dan diikat pada tali yang tidak nampak oleh mata kasar. Cacing itu itu kelihatan sungguh mengiurkan, sungguh lazat sehinggakan anakanda tidak terfikir akan apa pun kecuali untuk menikmati juadah yang enak itu tetapi anakanda mesti ingat itu hanyalah muslihat manusia, mengumpan anakanda ke alam lain yang penuh sengsara".

"Alam apa itu ibu?"

"Jika anakanda terjerumus ke perangkap manusia itu. Leher anakanda akan disentap oleh besi yang tercangkuk tajam dan anakanda akan merasa kesakitan di mulut anakanda. Kemudian mereka akan tarik anakanda ke arah sesuatu yang menyilau pandangan sehingga anakanda rasa anakanda akan buta. Anakanda akan dicampak umpama sampah di perut perahu mereka dan anakanda akan berasa sesak kerana anakanda bukan lagi dikelilingi oleh air tetapi udara. Kemudian mereka akan membawa anakanda ke pasar. Mereka letakkan harga, ada manusia yang datang dan mencocok-cocok badan badan anakanda sebelum ada yang membawa anakanda ke rumah mereka. Siksaan mereka belum selesai, manusia itu akan mengelar-ngelar anakanda, menghiris daging dan meletakkan garam. Pedihnya ibu tidak dapat bayangkan dan ceritakan...", sambil si ibu tunduk sayu dan ketakutan.

"Sehingga dikelar-kelar, anakanda akan melihat minyak yang panas mengelegak sehingga percikkannya bisa meleburkan kulit anakanda yang halus itu. Manusia kemudiannya akan menurunkan anakanda ke dalam minyak yang panas itu sehingga segala daging dan kulit anakanda melecur dan bertukar warna. Akhirnya anakanda akan dilapah, dimamah dan dikunyah oleh gigi-gigi manusia yang tidak mengenal erti belas kasihan itu. Semua siksaan itu berpunca dari godaan yang sedikit. Ibu berpesan agar anakanda ingat dan berhati-hati di laut lepas ini".

Si anak hanya mengangguk-anggukkan kepalanya dalam hatinya masih tidak yakin kerana belum pernah bertemu cacing yang begitu.

Suatu hari setelah si anak ini remaja dan bersiar-siar dengan kawan-kawannya. Mereka terlihat seekor cacing yang amat besar dan nampak lazat berseri-seri. Semua ikan-ikan itu telah mendengar cerita dari orang tua masing-masing cuma baru sekarang melihatnya dengan mata kasar sendiri. Masing-masing menolak satu sama lain dan mencabar-cabar agar pergi menjamah juadah itu. Akhirnya si anak itu yang tidak yakin dengan cerita ibunya tadi berkata.

"Ahhhh...masakan benar kata-kata ibuku, makanan selazat ini tidak akan mendatangkan apa-apa kecuali kenyang perutku, ini habuanku...". Terlintas nafsu yang datang mengoda lalu si anak itu mengangakan mulutnya luas-luas dan dengan rakusnya membaham cacing itu. Mulut dan tekaknya terasa kesakitan yang amat sangat setelah puas cuba melepaskan diri. Si anak itu berasa amat kesal dan sedih dalam dirinya kerana dia tahu apa yang ibu katakan memang benar cuma segalanya sudah terlambat hanya kerana nafsu.

* Begitulah kisah si anak ikan yang patut kita jadikan pengajaran pada diri kita yang lemah ini, yang tidak punyai apa-apa. Semasa kita kecil, ibu bapa kita menasihi kita beribu satu nasihat supaya kita tidak melangkah ke arah keburukan. Tapi dalam sedar atau tidak kita, musuh no.1 pada diri kita iaitu nafsu yang kita tidak dapat lihat dengan mata kasar kita dan hanya boleh dilihat dengan mata hati yang baik. Kita tidak dapat mengduga nafsu sedang menyerang dan menguji iman kita. Bila kita melangkah sekali pasti sukar hendak kembali kepada yang asal. Oleh itu, marilah kita guna akal dan iman yang dikurniakan pada diri kita dengan sebaik-baiknya. Semoga Allah sentiasa melindungi kita dari melakukan kejahatan dan menjadikan kita hamba yang soleh/solehah dan bertaqwa. Amin..



0 ulasan: